ASAS  PEMBINAAN
            Sekolah ini  mula dibina pada tahun 1979 dan siap pada tahun 1982. Komplek sekolah  ini terletak di Kampung Sg Nipah, Mukim Pancang Bedena, Sabak Bernam,  Selangor, kira-kira 12 kilometer dari pekan Sungai Besar. Mula digunakan  untuk persekolahan pada bulan Januari 1982
            Pada tahun 70an, Bahagian Teknik dan  Vokasional Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri  Selangor merancang untuk membina Sekolah Menengah Vokasional di  Selangor dengan pembiayaan Bank Dunia. Kawasan yang dikenalpasti adalah  antara Pekan Sabak Bernam dan  Pekan Kuala Selangor  untuk tapak sekolah  tersebut. Hasil perbincangan dengan Majlis Tindakan Daerah dan  wakil-wakil rakyat tempatan, satu kawasan di Kampung Sungai Nipah,  Simpang Lima seluas 19.75 ekar telah dipilih sebagai tapak untuk  pembinaan.  
            Pemilihan  tapak tersebut adalah berdasarkan beberapa faktor seperti; tanah  tersebut merupakan tanah milik kerajaan negeri yang belum dibangunkan  dan kewujudan sebuah sekolah vokasional pastinya dapat membantu  menggiatkan serta  memodenkan lagi sektor pertanian di kawasan tersebut.  Walau bagaimanapun, apabila sekolah ini dibuka, ia merupakan sebuah  sekolah menengah biasa, bukan sekolah menengah vokasional pertanian  sepertimana yang dirancang. 
            Hal ini  terjadi atas sebab-sebab :: 
|  | 
| simpang yang dipercayai asal kepada nama kawasan simpang lima | 
|  | 
| pekan simpang lima | 
|  | 
| simpang masuk dari jalan besar | 
- Minat penduduk setempat terhadap subjek vokasional dan potensinya kurang mendapat tempat di hati mereka menyebabkan tiada pendaftaran masuk ke sekolah ini.
- Rayuan penduduk Kg Sungai Nipah dan sekitar pekan Simpang Lima agar sekolah ini ditukar kepada sekolah menengah biasa kerana anak-anak mereka terpaksa bersekolah di SMK Sg. Besar / SMK Dato' Mustapha, Pasir Panjang yang terletak kira-kira 11 hingga 13 km dari rumah mereka . Sekolah tersebut pula mempunyai masalah kesesakan pelajar.
                 Setelah rayuan tersebut  diterima, sekolah tersebut beroperasi sebagai sebuah sekolah menengah  biasa dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Lima.Sekolah ini  berlangsung hanya selama 6 tahun sahaja apabila ia ditukar lagi kepada  sekolah menengah agama dalam tahun 1988.
penukaran nama sekolah
         Mulai 1988, nama sekolah  ini telah ditukar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Lima kepada  nama ia sekarang, iaitu SMKA Simpang Lima. Sekolah ini ditukar secara  berperingkat menjadi sekolah menengah kebangsaan agama berasrama.  Cadangan ini diterima oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian  Pendidikan Malaysia (ketika itu) dan Jabatan Pendidikan Selangor atas  cadangan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan dikuatkan lagi  dengan sokongan PIBG sekolah ini. Keputusan tersebut menggembirakan lagi  penduduk setempat dan umumnya penduduk Daerah Sabak Bernam. Alasan yang  dikemukakan bagi cadangan tersebut ialah:-  
- Ramai murid lepasan tahun enam yang cemerlang atau baik keputusannya dalam daerah Sabak Bernam tercicir dari memasuki sekolah berasrama penuh yang ada kerana sebab-sebab tertentu.
- Kebanyakan sekolah berasrama penuh terletak jauh dari Sabak Bernam dan Tanjung Karang menyebabkan keluarga pelajar merasa terbeban untuk sentiasa dapat melawat mereka
- Ibu bapa semakin cenderung untuk menghantar anak mereka ke sekolah menengah agama, walhal bilangannya terhad di kawasan luar bandar, terutamanya sekolah menengah agama yang ada kelas menengah atas dan berasrama.
- Untuk membina sebuah sekolah menengah kebangsaan agama berasrama penuh memerlukan kos yang tinggi.maka, bangunan sekolah ini sesuai untuk penjimatan kos.
- Oleh kerana tanah sekolah cukup luas, maka hasrat untuk membina sekolah menengah agama dapat dilaksanakan dan kos dapat dikurangkan (kos pembinaan asrama dan bangunan sekolah sahaja).
        Pengambilan pertama  bagi SMKA Simpang Lima ini dibuat dalam tahun 1988 dengan kemasukan  seramai 112 orang pelajar tingkatan satu dan ditempatkan di  asrama-asrama yang menggunakan bilik-bilik darjah yang diubahsuai.  Urusan pemilihan dan kemasukan mereka diuruskan oleh Jabatan Pendidikan  Negeri Selangor, Unit Pendidikan Islam berdasarkan kecemerlangan  pencapaian mereka dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah  (UPSR). Mereka belajar bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah  Kebangsaan Simpang Lima yang sedang meneruskan persekolahan mereka  sehingga tamat di tingkatan lima pada tahun 1991.
   Pada  tahun 1992, 4 (empat) buah blok asrama khas setinggi 3 tingkat telah  dibina bagi menempatkan para pelajar yang selama ini ditempatkan di  dalam bilik-bilik darjah yang diubahsuai. Sebuah dewan makan juga dibina  sekali bagi melancarkan lagi pengurusan asrama..
    Sesudah itu, dengan berkat kegigihan ahli jawatankuasa PIBG sekolah dan  masyarakat setempat serta masyarakat umum, sebuah surau yang sederhana  besar memuatkan kira-kira 500 orang pelajar dapat dibina di kawasan  sekolah. Kewujudan surau tersebut telah dapat menambahkan lagi  kelancaran aktiviti pelajar terutama aktiviti dan urusan keagamaan serta  kerohanian.
|  | 
| asrama putera | 
   Pada tahun 1998, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui  RMK 6 telah meluluskan suatu peruntukan pembinaan satu blok bangunan  sekolah 3 tingkat  dan 2 blok bangunan asrama setinggi 3 tingkat untuk  pelajar putera dan puteri, sebuah lagi dewan makan, sebuah tangki air  dan dua buah gelangang permainan serbaguna bagi menambahbaikkan lagi  pengurusan dan pentadbiran serta kecemerlangan SMKA Simpang Lima.  Kewujudan blok-blok asrama baru tersebut sesungguhnya telah melegakan  banyak pihak, khusus para pelajar sendiri yang selama ini tinggal secara  agak bersesak. Kini mereka di tempatkan secara lebih selesa dalam  blok-blok bangunan asrama yang baru. Selain dari itu, pihak PIBG juga  telah menguruskan pembinaan sebuah lagi surau untuk pelajar puteri dan  akhirnya dapat dibina dan digunakan dalam tahun 2000.
laluan masuk ke asrama
   Dari sudut akademiknya SMKA Simpang lima telah  mewujudkan pembelajaran tingkatan 6 sejak tahun 1993 di mana anak sulung  sekolah ini telah mula memasuki universiti-universiti tempatan dan luar  negara mulai tahun 1995 hinggalah sekarang.
   SMKA Simpang Lima terus maju dan  berkembang dengan penuh kecemerlangan.
         Selamat maju jaya dan semoga terus gemilang.
 

